Sunday, October 31, 2010

Puting beliung landa Kangar


Lebih 50 buah rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi dekat Kangar rosak akibat angin puting beliung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis Mansor Jusoh berkata kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan kerugian sekitar RM100,000.

Baitul Mal Perlis dan Unit Pembangunan Insan Perlis akan membantu mereka yang terlibat membaiki rumah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerugian sebenar, katanya kepada pemberita ketika melawat mereka yang terlibat hari ini.

Katanya walaupun sebuah pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi, kebanyakan penduduk lebih selesa tinggal sementara bersama saudara-mara.

Sementara itu seorang penduduk, Rohana Abdul Rahman, 52, berkata ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.

"Saya melihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan pecah dan bumbung diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, semua yang terlibat hari ini menerima bantuan awal daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 seorang dan beras.

Saman JPJ boleh dibayar di pejabat pos mulai esok

Mulai esok, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima buah pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sebagai percubaan, lima buah kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau berkata bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan depan.

"Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat," katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di Jerantut hari ini.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

"Jika sebelum ini saman polis hanya boleh dibayar di IPD atau IPPK manakala saman JPJ hanya boleh dibayar di kaunter JPJ tapi selepas ini kedua-dua saman itu boleh dibayar di mana-mana saja kaunter JPJ atau polis," katanya.

Menurutnya dengan pelaksanaan kedua-dua kaedah berkenaan, ia dilihat tidak lagi menyusahkan orang ramai malah ia lebih cekap.

Saturday, October 23, 2010

Kenapa Tak Rogol Saya?





Kisah benar ini berlaku di US.


Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang
bagus.

Suatu malam perempuan ini dalam
perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan
yang diambil pula agak tersorok dan
tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat,
berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa
takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan
bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong
itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak
sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca
ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar
Allah membantu dia disaat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu
bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib
baik lelaki itu buat tidak endah dan
perempuan ini selamat sampai ke
rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki
yang tidak dikenali dekat lorong yang
dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih
yang dia lihat semalam adalah perogol
itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek
melalui kawad cam dan selepas siasatan
dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut
walhal dia keseorangan di masa tu,
tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak
tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta
kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol
tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke
tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that
night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya
malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa
tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw
two young man walking with you. One on your right side and the other one
was by your left side. If you were alone
of course you will be my victim.”
(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu
saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan
awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak.
Kalaulah awak sorang2 malam tu, sudah
pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar
penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat
Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi
yang dia baca malam itu.

p/s : MORAL CERITA INI???

Jika kita sebagai hambaNya menurut
segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan
memelihara kita. Wanita tadi
pertama-tamanya menutup aurat di US dan memang seorang yang menjaga
batas-batas yang ditetapkan Islam.
Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga
hambaNya yang sentiasa ingat akan
diriNya.

"...Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat
memeliharanya hingga subuh. Barang siapa
yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya ..."
[Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]

Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan ku...
semoga kite semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat...
sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….

semoga kita sentiasa dipeliara Allah dari
kejahatan syaitan yang di rejam…….

'7,000 penduduk P Pinang berisiko diusir'

Keadaan orang Melayu di Pulau Pinang sangat kritikal terutama dalam isu pemilikan tanah dan ketika ini kira-kira 7,000 penduduk negeri berhadapan dengan risiko diusir dari rumah yang mereka
duduki, demikian menurut wakil Umno Pulau Pinang Mohamad Farid Saad.

Beliau yang mendedahkan hasil maklum balas kajian Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang dikumpul dari 13 ketua bahagian berkata, penduduk dari 60 perkampungan di Pulau Pinang didapati akan kehilangan tempat tinggal kerana tanah rumah yang didiami sekarang bukan milik mereka.

Katanya kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP dilihat semakin melampau apabila mereka mula membuka tanah yang selama ini dipertahan, untuk dibangunkan, dan beliau memberi contoh satu lot tanah yang di Sungai Burung yang dikhaskan untuk sawah dikeluarkan dari gazet, dan satu lagi kes yang membabitkan sebahagian daripada Taman Negeri yang dibuka untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan.

"Kes ini akan membuka laluan kepada pembukaan kawasan-kawasan lain dari kategori yang sama. Ini semua adalah penyalahgunaan kuasa yang mesti dihentikan," kata Anggota Umno Bahagian Balik Pulau itu ketika membahaskan usul ucapan presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Mohamad Farid berkata apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang merupakan contoh kes pengusiran melalui polisi dasar, selain berlakunya pengusiran secara fizikal, psikologi dan terang-terangan.

Mohamad Farid berkata kerajaan perlu mempunyai kuasa untuk menghalang pembangunan di kawasan yang digazet, seperti kawasan-kawasan yang sensitif dalam menjaga alam sekitar di semua negeri.

"Jika tidak, lebih cepatlah orang Melayu diusir. Hari ini tanah milik orang Melayu di daerah timur laut hanyalah 1.16 peratus saja, tanah di Balik Pulau hanya 15.07 peratus, di Seberang Perai 44.2 peratus, Seberang Perai Tengah 23.5 peratus dan di Seberang Perai Selatan 18.09 peratus sahaja milik orang Melayu," katanya dan menambah ketika ini hanya 20.41 peratus sahaja tanah di Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah milik orang Melayu.

Beliau berkata orang Melayu sudah lama bertapak di Pulau Pinang, tetapi hari ini, sedikit demi sedikit tanah yang dimiliki turun temurun dijual dan bertukar tangan.

Menurutnya jika generasi dahulu boleh bertolak ansur, generasi baru tidak ada lagi belas kasihan, di mana yang ada kini hanyalah 'you keluar dari sini, kalau tak puas hati jumpa di mahkamah nanti'.

Mohamad Farid berkata hakikat yang perlu diterima ialah keadaan ini berpunca daripada kealpaan "pemimpin dahulu".